Followers

Tuesday 3 May 2011

CINTA di Bagan Lalang [2]

Keadaan WHF *** yang menenangkan jiwa membuatkan kami berempat lebih bersemangat untuk meneruskan pengembaraan. Berpandukan peta yang telah diamati betul-betul, kami meneruskan perjalanan dengan yakin, yakin sampai ke destinasi yang menjanjikan sesuatu yang sangat menarik.


Sudah menjadi kebiasaan saya, mudah terlelap dalam kereta, tambahan pula keadaan kereta yang selesa dan penghawa dingin yang nyaman ibarat anak yang terlelap didodoikan ibu dalam buaian dengan alunan zikrullah yang mengasyikkan. “Ahhh...bila saya nak mula belajar memandu ni?”, saya bermonolog bersendirian. Mungkin disebabkan tidak selesa sekadar menumpang.

Memang HITAM la...
Pengembaraan kami terasa sangat panjang, berada dalam kepekatan gelap malam, seperti kopi O pekat keadaannya. Keadaan jalan yang sangat asing menjadikan kami mula ragu-ragu, ke mana tujuan kami yang sebenarnya. Kami berpandangan sesama sendiri...”HAHAHAHA...”, ketawa panjang memecah kesunyian. SESAT! Satu ungkapan yang terpacul dari mulut saya. Satu kemungkinan yang tidak dinafikan oleh sahabat-sahabat saya.

Kami sebulat suara untuk berpatah balik. Tidak bermakna kami telah berputus asa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai masak di atas kuali dan terus dihidang. Berpatah balik untuk mencari satu solusi adalah keputusan syura antara kami. Kedai makan yang kelihatan meriah dengan kehadiran pelanggan seperti kekatu mengerumuni cahaya lampu menjadi sasaran kami. Malu bertanya sesat jalan. Kami tak mahu malu tidak bertempat menjadi asbab kami sesat.

Setelah mendapat pencerahan, kami kembali bersemangat untuk meneruskan pengembaraan. Saya yakin, sinar yang terpancar dari wajah sahabat-sahabat umpama bulan purnama menerangi kepekatan gelap malam merupakan alamat kebangkitan.

Teruknya!!!!
POMM!!!! “Bunyi apa tu?”, soal Al-Amin menimbulkan tanda tanya dalam benak fikiran kami. Fattah memperlahankan kereta dan memberhentikannya di pingir jalan. Kami berempat keluar daripada kereta untuk mencari jawapan kepada tanda tanya tersebut. Wah!!! Tayar depan sebelah kanan telah pecah. Namun begitu, kami gagahkan diri untuk meneruskan perjalanan perlahan-lahan.

Sabar...
Alhamdulillah, Allah sentiasa bersama hambaNya yang bersabar. Kami temui sebuah kedai tayar tidak jauh daripada tempat kami berhenti sebentar tadi. TUTUP! Cahaya penyelesaian yang mula terpancar terus terpadam. Keluhan kecewa memecah kesunyian. Allah sentiasa menguji hambaNya dengan kepayahan. Dalam kepayahan ada kemudahan. Tiba-tiba dua orang India yang sedang menunggang sebuah motosikal menghampiri kami.

Niat asal bukanlah untuk membantu. Mereka beranggapan bahawa kami ini pemandu lori yang sedang berehat. Namun, niat asal tidak menjadi banteng konkrit untuk menghalang mereka daripada menghulurkan bantuan, 1 Malaysia lah katakan...hehee. Rupa-rupanya mereka kenal dengan pemilik kedai tayar tersebut. Mereka cuba menghubungi beliau. Hampa, tiada jawapan di hujung talian. Sebagai alternatif, stesen minyak Shell menjadi cadangan mereka kepada kami.

Biar lambat, asal selamat
Mengalahkan kura-kura, itulah perbandingan yang sesuai dapat saya gambarkan. Sungguh perlahan pergerakan kami menuju stesyen minyak, melihat kepada keadaan tayar yang agak kritikal. Cuba menghubungi pemilik kereta untuk mendapatkan kepastian berkenaan keadaan tayar simpanan di bahagian bonet. Jawapan yang samar-samar kami perolehi. Tiada pilihan, kami gagahkan juga diri ini untuk menukar tayar. Angin telah kami isi mengikut tekanan yang sesuai. Keadaan malam yang semakin lanjut usianya memaksa kami untuk mencari tempat beradu.

Medan selera dan kawasan rehat pekan Sepang menjadi pilihan. Keadaan surau yang selesa membuatkan rasa mengantuk mengatasi tahap kesedaran diri. Beralaskan sejadah, berselimutkan jaket, bertemankan nyamuk. Masing-masing enak melayan mimpi menanti subuh. Azan subuh daripada masjid berdekatan mengejutkan kami daripada mimpi indah masing-masing. Selesai solat subuh dan bacaan Al-ma’thurat, kami bersarapan sebagai syarat mengalas perut yang berkeroncong mengalunkan lagu rap. Kembali kepada kereta, angin tayar semakin berkurang menandakan tayar simpanan turut mengalami kebocoran.

Message Received terpapar pada skrin bewarna telefon bimbit saya. Wah, baru saya teringat. Saya terpaksa berkejaran ke Hentian Kajang sebelum jam 10 pagi untuk melunaskan satu tanggungjawab yang sedang menanti di utara tanah air. Keadaan memaksa kami untuk segera bergegas menuju ke Bagan Lalang. Tidak ada pilihan lain, angin tayar di isi semula disebabkan kedai tayar yang mula beroperasi pada jam 9 pagi.

Pengharapan penuh kami letakkan pada Allah, pengembaraan diteruskan. Mudah-mudahan tayar dapat bertahan. Alhamdulillah, asbab tunjuk arah daripada mak cik India penjual surat khabar, destinasi tujuan muncul di depan mata. Pantai Bagan Lalang, indah dengan pasir yang memutih dan deru ombak yang menenangkan. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar-nampar pipi.

Sedapnya!!

Teruja, tidak sabar, perasaan bercampur baur ibarat ais batu campur (ABC) Azura. Tempat inilah yang akan melakarkan satu sejarah yang akan dikenang selama-selamanya (bergegas pulang ke Hentian Kajang)...CINTA di Bagan Lalang...

[Bersambung...]

No comments:

Entry Popular