Followers

Thursday 18 August 2011

Menghargai Setelah Kehilangan

Bismillah

logo rasmi GAMIS
Malam ke 19 Ramadhan disambut dengan menyertai satu program  “Pemberian Makanan Bagi Yang Memerlukan” anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dan sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) bertempat di Majid Jamek, Kuala Lumpur. Usaha menjayakan program yang melibatkan para sukarelawan dan dihadiri oleh golongan masyarakat yang kurang berkemampuan ini harus dipuji. Kesempatan yang ada pada bulan yang mulia ini harus digunakan sebaik mungkin.

Taubat Nasuha

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang program malam tadi ialah jamuan dan tayangan video drama, rakaman daripada stesen televisyen popular di Malaysia (TV3) yang bertajuk Taubat Nasuha lakonan Fauzi Nawawi dan Sheila Rusly.


Fauzi Nawawi

Terdapat sesuatu yang menarik untuk saya kongsikan berdasarkan pengamatan saya terhadap video tersebut. Sebagai manusia, kita sering menghargai sesuatu yang kita miliki setelah kita kehilangannya. Setuju atau tidak, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa inilah sifat semula jadi, fitrah manusia. Dalam erti kata lain, cukup sukar untuk kita bersyukur dengan apa yang sedia ada bersama kita dan sentiasa mengejar sesuatu yang belum pasti kita peroleh. Kerugian yang amat sangat akan dirasai setelah kita kehilangannya.

Drama Taubat Nasuha jelas memaparkan kisah bagaimana seorang suami, ayah yang trauma dengan kisah silamnya, sering didera oleh ayahnya. Hal ini menyebabkan beliau melayan isteri dan anak-anaknya dengan agak keras. Beliau tidak menghargai keluarga yang beliau miliki. Akhirnya beliau merasakan kehilangan yang amat sangat apabila seluruh keluarganya telah terbunuh dalam satu kes pecah rumah.

Begitu juga dalam kehidupan seharian kita, sangat payah untuk kita menghargai sesuatu yang berada bersama kita dan sesuatu yang kita miliki. Contoh yang paling mudah ialah kesihatan kita. Kita tidak menggunakan kesihatan tubuh badan sebaik mungkin untuk bekerja mencari nafkah. Apabila kita sakit dan tidak sihat, kita akan mengungkapkan kata-kata, “alangkah seronoknya dapat kembali sihat”.

menghargai sesuatu yang bersama kita

Ramadhan untuk semua

Bersama masyarakat yang kurang berkemampuan membuatkan saya rasa sangat bersyukur kerana lemas dalam lautan kenikmatan. Kadangkala kita merasakan yang diri kita susah tanpa kita mnyedari ada yang lebih susah daripada kita. Ramadhan yang hadir setahun sekali ini harus dinikmati bersama. Pastikan natijah yang diperoleh berbeza saban tahun.

Wallahua’lam.

No comments:

Entry Popular