Followers

Friday 24 February 2012

Tak baca Al-Quran, seperti pijak dan bakar Al-Quran

Bismillah

Islam suatu ketika dahulu pernah mentadbir dunia. Hukum-hukum Islam terlaksana dengan gahnya. Islam diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Pertempuran demi pertempuran ditempuhi, peperangan demi peperangan dihadapi, kemenangan sentiasa menjadi habuan dan pulangan yang lumayan buat umat Islam ketika itu. Ketika umat Islam terjun ke medan pertempuran, lapangan jihad, tertancap kukuh dalam pemikiran dan sanubari mereka, “umat Islam akan sentiasa menang, sama ada menang dalam peperangan atau bertemu Ilahi sebagai shuhada”. Tidak ada istilah “takut mati” dalam kamus kehidupan umat Islam ketika itu.

Al-Quran sumber kekuatan

Musuh-musuh Islam sentiasa memikirkan, memerah otak bagi mencari jalan menumbangkan Islam, menghancurkan pemerintahan Islam. Mereka buntu dek kerana acap kali bertemu jalan mati. Tidak ada resolusi yang terbaik. Peperangan dengan umat Islam adalah sesuatu yang merugikan bagi mereka.

Al-Quran sumber kekuatan



Namun, kebencian mereka terhadap Islam semakin hari semakin memuncak. Semangat mereka untuk melenyapkan terus Islam atas muka bumi ini tidak pernah luntur. Sudah bermacam persidangan dan pertemuan antara pemikir-pemikir musuh Islam ini diadakan bertujuan mencapai kata sepakat dalam mencari solusi untuk meletakkan Islam di bawah telapak kaki mereka.

“kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”

Benarlah kata-kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah, kesungguhan musuh Islam ini akhirnya membuahkan satu resolusi yang mantap, resolusi yang akan terus menguburkan Islam ke dalam perut bumi. Satu himpunan missionary (pendakwah kristian) telah diadakan. Hasilnya, tercetus satu kenyataan yang menyebut,

“kerja kita hari ini bukan mengkristiankan umat Islam, tetapi jauhkan mereka daripada Al-Quran dan Sunnah, 
jadikan mereka tidak bangga dengan nabi Muhammad. Dan jauhkan mereka daripada sejarah Islam, jadikan mereka malu mengaku keislamannya, buatlah mereka jauh daripada ulama-ulama mereka”

Jauh daripada Al-Quran

24 Februari 2012, seusai menunaikan solat Jumaat di Menara Tabung Haji, telah berkumpul umat Islam Malaysia sebagai tindakan responsif terhadap kebiadapan tentera Amerika terhadap Al-Quran. Tentera-tentera Amerika telah memijak dan membakar Al-Quran yang akhirnya mencetuskan rasa geram dan marah umat Islam atas tindakan kurang ajar mereka yang melampaui batasan toleransi agama.

umat Islam bersatu (sumber : Fikri Arrazi Photoart)

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana umat Islam masih lagi cakna soal kedudukan Islam hari ini. Kita memang mudah terkesan dengan tindakan yang jelas-jelas berlaku di depan mata. Cuma yang menjadi kerisauan dan kebimbangan adalah, sejauh mana umat Islam hari ini sedar akan tindakan musuh Islam yang jauh lebih halus dalam meletakkan Islam di telapak kaki mereka. Tanpa disedari, kita sedang menjadikan Al-Quran sebagai “bantal”, meletakkan Al-Quran di belakang, menolak hukum-hukum dan ketetapan yang terdapat dalam Al-Quran.

Kita mengaku sayang dan cintakan Islam, Al-Quran. Jadi, buktikan rasa cinta dan sayang tersebut. Bangun dan terus perjuangkan tuntutan-tuntutan Al-Quran, tunaikan hak Al-Quran. Hak Al-Quran bukan sekadar dibaca bahkan diamalkan setiap sesuatu yang telah ditetapkan dalam Al-Quran.

Wallahua’lam

No comments:

Entry Popular