Followers

Thursday 1 December 2011

Mengaku LEMAH, bukan mengaku KALAH

Bismillah.

Sebagai MANUSIA, sejujurnya kita adalah ciptaan ALLAH yang BAIK berbanding ciptaan-ciptaan ALLAH yang berada di alam semesta ini. Adanya HAWA nafsu dan AKAL menjadikan manusia ini berbeza dengan ciptaan ALLAH yang lain. Firman ALLAH,

“sungguh Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
(At-Tin: 4)


Sesiapa yang belajar Bahasa Arab secara mendalam mungkin mampu untuk mentafsirkan ayat ini dari sudut bahasa dengan lebih jelas. Cuma sekadar perkongsian ilmu yang saya ada, dalam ayat ini terdapat penekanan dan penegasan teramat sangat daripada Allah terhadap kenyataan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian.


Hamba yang LEMAH

Namun demikian, perlu diakui juga sebagai seorang manusia yang beriman, yakin akan keesaan Allah, hakikat kelahiran dan kewujudan manusia adalah untuk mngabdikan diri kepada Allah, menjadi hamba sepenuh masa kepada Allah. Firman Allah,

“tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada Ku”
(Az-Dzariyyat: 56)

Tetapi, silap besar jika kita mentafsirkan istilah hamba itu seperti hamba yang kita ketahui melalui filem-filem atau kisah peradaban manusia yang telah berabad meninggalkan kita. Saya merasakan hamba sahaya atau abdi kepada manusia itu sangat zalim dan kejam sehingga menidakkan hak-hak sebagai manusia.

Sedangkan dalam ertikata yang sebenar, hamba di sisi Allah adalah untuk menjelaskan kedudukan manusia di sisi Allah. Manusia lahir ke dunia tanpa memiliki apa-apa pun hatta seurat benang sekalipun. Istilah hamba di sini juga adalah untuk menjelaskan tujuan sebenar manusia dicipta atas muka bumi, manusia wajib menjadikan Allah sebagai tumpuan, pergantungan dan pengharapan kita bersesuaian dengan konsep Tauhid Uluhiyyah.

Jangan mengaku KALAH

Saya merasakan bahawa sebagai manusia, kita ini sangat lemah dalam konteks kita sebagai hamba Allah. Ramai yang setuju dengan kenyataan saya ini, cuma kadang-kadang, apabila manusia mengaku lemah, keadaan ini menjadikan kita cepat mengaku kalah.


Lemah seseorang manusia bukan untuk ditonjolkan, tetapi lemahnya seorang manusia adalah untuk kita menyedari akan hakikat manusia sebagai hamba di hadapan Allah. Tugas utama sebagai hamba Allah adalah untuk memastikan Islam tertegak pada tempat yang sepatutnya.

“Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi berbanding Islam”

Mudah kata, jika kita cepat mengaku kalah atas kelemahan diri sendiri, manusia di sekeliling kita akan memandang Islam itu lemah, hina dan rendah. Segala gerak kerja untuk menegakkan syiar Islam atas muka bumi ini juga akan tergendala dan terbatas disebabkan umat Islam cepat mengaku kalah.

Mengaku LEMAH

Mengaku kelemahan diri menjadikan manusia sentiasa patuh, tunduk dan taat pada perintah dan larangan Allah.

Kita sering dengar dialog seperti ini,

“saya tidak mampu untuk berdakwah, mengajak kawan-kawan kepada Islam”

“saya tidak punya cukup ilmu utuk berdakwah”

“kenapa orang tak boleh terima Islam, saya dah penat berdakwah kepada Islam”

Dialog ini jelas membuktikan salah faham terhadap mengakui kelemahan diri justeru kita mudah mengaku kalah dan cepat berputus asa. Kata-kata yang sepatutnya bermain di bibir pejuang, pendakwah ialah,

“Alhamdulillah, saya dah cuba yang terbaik untuk Islam”

“tugas dakwah adalah tugas saya, saya akan cuba tambah ilmu pengetahuan di samping menyampaikan setiap ilmu yang saya ada”

“saya takkan berputus asa, sesungguhnya hidayah milik Allah”


Mengaku lemah akan menjadikan kita lebih kuat untuk berhadapan dengan cabaran dakwah. Kita akan sentiasa menyedari,  Allah sentiasa bersama hambaNya. Sirah perjuangan nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat jelas membuktikan bahawa sumber kekuatan berhadapan dengan musuh adalah mengakui kelemahan di hadapan Allah.

Wallahua’lam.

No comments:

Entry Popular