Followers

Saturday 18 June 2011

Apresiasi Melestari Kecemerlangan

Bismillah.

Alhamdulillah, puji-pujian buat Allah S.W.T yang menciptakan semua makhluk di muka bumi ini untuk berkhidmat kepada manusia. Sudah agak lama rasanya jari-jemari saya ini tidak menari-nari di atas papan kekunci. Mugkin disebabkan kesibukan atau kelemahan dalam menguruskan masa (sama-sama kita muhasabah).

Cuti panjang

Majoriti mahasiswa universiti tempatan sedang lena dibuai mimpi menempuh cuti semester yang sangat panjang, lebih kurang 4 bulan. Mungkin ada yang mencari kerja sambilan atau memutuskan untuk berkhidmat kepada ibu bapa, segala-galanya berdasarkan keutamaan. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk melanjutkan pengajian ke semester pendek.


Bagi saya, cuti yang panjang ini bukanlah masa untuk berehat dan membuang masa. Saya hanya sempat bersama dengan keluarga yang tersayang selama seminggu sahaja, itu pun selepas pulang daripada berkhidmat sebagai pemudah cara untuk MInggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) Kolej Mara Kulim (KMK). Seminggu berada di rumah, saya manfaatkan sebaik mungkin untuk pastikan masa bersama keluarga yang berkualiti. Agak sedih sebab terpaksa kembali ke medan perjuangan, UKM, terpaksa meninggalkan adik-adik yang comel di rumah (rasa macam nak menangis).

Berkorban segalanya

Lagu dendangan Tan Sri P. Ramlee berlegar-legar di gegendang telinga saya,

“berkorban apa saja, harta atau pun nyawa”


Setakat mengorbankan masa cuti, masa untuk bergembira, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan yang telah di buat oleh Nabi Allah, Ibrahim A.S. Nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan isteri dan 
anaknya, Siti Hajar dan Ismail di suatu tempat yang kering dan tidak berpenghuni semata-mata atas arahan Allah, untuk meneruskan misi menegakkan Islam. Nabi Ibrahim turut diuji dengan perintah untuk mengorbankan anaknya sendiri, Nabi Ismail A.S.

Siri-siri pengorbanan ini merupakan satu bentuk motivasi kepada saya untuk terus teguh berdiri di perbukitan ilmu UKM ini (bunyi macam poyo). Mudah-mudahan 2 bulan berkampung di UKM menjanjikan satu bentuk  pengalaman yang tak disangka-sangka.

Seminggu dah berlalu

Tanggal 12 Jun 2011 (Ahad), rata-rata ahli Sekretariat Pesta Konvo ke-39 UKM (termasuklah MT, Eksekutif dan AJKD) sudah mula berkampung di Kolej Ungku Omar (KUO).

Berada di kaunter pendaftaran membuatkan saya ketawa sendirian melihat gelagat ahli-ahli yang berkampung. Semuanya bersemangat dan masing-masing tidak sabar untuk memulakan tugas.
Perjumpaan kali pertama bersama semua ahli sekretariat telah diadakan pada malam 13 Jun 2011 (Isnin) di bilik pesta. Maka secara tidak rasminya telah bermula tanggungjawab saya sebagai epngurusa tadbir bersama rakan-rakan sekretariat yang lain.

Pelbagai bengkel seperti bengkel pemasaran, komunikasi korporat dan penulisan surat (satu-satunya bengkel yang sangat mencabar) telah dianjurkan untuk menajamkankan lagi kemahiran masing-masing dalam pengurusan. Tidak dilupakan, program kerohanian sebagai santapan jiwa yang dijalankan pada khamis malam, dan insha Allah akan diteruskan untuk minggu-minggu seterusnya.

Minggu pertama perkampungan pesta konvo melabuhkan tirainya dengan aktiviti Jogging Pesta, satu-satunya aktiviti yang memberi ruang kepada semua ahli sekretariat  untuk mengeratkan lagi hubungan sesama kami. Tambahan pula, elemen ukhuwwah adalah sesuatu yang sangat perlu untuk dititikberatkan dalam sebuah organisasi.

Penulis bersama dengan jurugambar








Pengarah Eksekutif


Allah sebaik-baik perancang

Cuma satu perkara sahaja sepanjang minggu ini yang membuatkan hati ini agak terkesan. Memang kita telah merancang, tetapi kita perlu sedar akan hakikatnya, Allah sebagai sebaik-baik perancang.

Agak sedih dan sayu apabila melihat sahabat-sahabat yang terpaksa mengorbankan hujung minggu mereka dengan terpaksa tidak menghadiri satu program yang telah dirancang agak lama sebelum perkampungan pesta. Namun Allah Maha Mengetahui sesuatu yang terbaik buat hambaNya.

Allah S.W.T berfirman dalam kitabNya yang mulia,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya baik buat kamu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu, Allah Maha Mangetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216)

Maaf

Seribu kemaafan dipohon jika penulisan kali ini terlalu panjang (ni baru ringkasan untuk satu minggu). Mungkin sebab sudah lama saya tidak menulis. Mohon sahabat-sahabat doakan agar Pesta Konvo kali ini dapat berjalan dengan lancarnya di samping kita dapat menjadikan pesta kali ini sebagai platform dakwah dan islah.

Wallahua’lam.

No comments:

Entry Popular